Suspek kes letupan di Nilai ditahan, polis temui beberapa lagi IED

28 Dis 2025, 12:00 AM
Suspek kes letupan di Nilai ditahan, polis temui beberapa lagi IED

SEREMBAN, 28 DIS: Polis menahan seorang suspek kes letupan peranti letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) di kawasan Desa Palma, Nilai, di sini pada 22 Disember lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis turut menemui beberapa objek disyaki IED bersama suspek lelaki berusia 62 tahun yang ditahan di jalan sekitar Batang Benar, Nilai petang semalam.

“Tangkapan dilakukan pada 4.15 petang. Pemeriksaan yang dijalankan ke atas tubuh badannya mendapati terdapat kesan kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki.

“Ketika ditahan, dia berada dalam lemah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk diberikan rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan terus menyalurkan maklumat kepada polis selain menzahirkan penghargaan atas kerjasama masyarakat dalam usaha mengesan suspek.

Alzafny petang tadi mengesahkan penahanan individu berkenaan di jalan sekitar kawasan Batang Benar, Nilai hasil maklumat orang awam.

Semalam, Alzafny berkata suspek dikenali sebagai ‘Ayang’ yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.

Polis turut menemukan 31 lagi IED di rumahnya dan telah memusnahkan semua bahan letupan berkenaan.

Pada Isnin lepas, beliau dilaporkan berkata pihaknya menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada 7.08 pagi.