Jualan Ehsan Rahmah rehat seketika, kembali operasi 19 Januari

3 Jan 2026, 2:19 AM
Jualan Ehsan Rahmah rehat seketika, kembali operasi 19 Januari

SHAH ALAM, 3 JAN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menjelajah ke beberapa lokasi di serata daerah berehat sementara waktu sejak 1 hingga 18 Januari bagi memberi ruang kepada kerja-kerja penyelenggaraan trak serta penyusunan semula stok barangan.

Bagaimanapun, program jualan barangan asas murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kembali beroperasi pada 19 Januari depan.

JER menawarkan ayam seekor (RM10), daging pejal (RM10/pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM12).

Jualan murah itu turut dijual ialah tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.