Kutipan cukai taksiran MPAJ 2025 rekod RM184.8 juta, lebihan RM17 juta

3 Jan 2026, 1:05 PM
Kutipan cukai taksiran MPAJ 2025 rekod RM184.8 juta, lebihan RM17 juta
Kutipan cukai taksiran MPAJ 2025 rekod RM184.8 juta, lebihan RM17 juta

AMPANG JAYA, 3 JAN: Prestasi kutipan cukai taksiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi 2025 merekodkan pencapaian cemerlang apabila hasil kutipan mencapai RM184.8 juta sekali gus melebihi RM17 juta dari jumlah sasaran awal ditetapkan.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari berkata mengikut Bajet 2025 yang diluluskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyasarkan hasil RM171 juta dengan perbelanjaan berjumlah RM167 juta.

“Namun sehingga 31 Disember 2025, kutipan sebenar yang berjaya direkodkan adalah RM184.8 juta sekali gus melebihi anggaran awal.

“Pencapaian ini secara langsung meletakkan kedudukan kewangan MPAJ dalam keadaan surplus (lebihan) RM17 juta yang boleh dimanfaatkan untuk perbelanjaan dan penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis MPAJ penggal 2026-2027 di Menara MPAJ di sini semalam.

Hasrolnizam menyifatkan pencapaian tersebut sebagai luar biasa dan hasil kerjasama serta komitmen semua pihak termasuk pimpinan Kerajaan Negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, ahli parlimen, Ahli Dewan Negeri (ADN) di kawasan pentadbiran MPAJ termasuk penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli serta seluruh ahli majlis MPAJ yang sentiasa memberi pandangan dan bekerja rapat bersama pengurusan tertinggi PBT tersebut.

“Kerjasama dan sokongan rakyat Ampang Jaya yang melaksanakan tanggungjawab membayar cukai taksiran juga amat kami hargai dan menjadi faktor utama kejayaan ini.

“MPAJ mulai hari ini berikar akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selaras dengan kedudukan kewangan majlis yang semakin kukuh,” ujarnya.