Tingkat bekalan air: Lebih 1,000km paip usang sudah diganti - Air Selangor

2 Jan 2026, 10:30 AM
Tingkat bekalan air: Lebih 1,000km paip usang sudah diganti - Air Selangor
Tingkat bekalan air: Lebih 1,000km paip usang sudah diganti - Air Selangor
Tingkat bekalan air: Lebih 1,000km paip usang sudah diganti - Air Selangor
Tingkat bekalan air: Lebih 1,000km paip usang sudah diganti - Air Selangor

SHAH ALAM, 2 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menggantikan lebih 1,000 kilometer (km) paip usang dalam usaha jangka panjang untuk meningkatkan bekalan air dan mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Operator air negeri memberitahu setakat 30 September lalu sebanyak 1,017km paip usang telah diganti, manakala tambahan 825km paip baharu telah siap dipasang di seluruh negeri.

Menurutnya, kira-kira 300km paip berada pada peringkat reka bentuk tahun lalu dengan kontrak dianugerahkan pada November dan tambahan 300km projek penggantian sedang dirancang bagi tahun ini.

“Program penggantian paip merupakan tunjang kepada pelan jangka panjang Air Selangor untuk memastikan kebolehpercayaan dan kelestarian infrastruktur air.

“Ia bukan sahaja menangani isu paip simen asbestos (AC) yang mudah bocor dan pecah, malah merupakan pelaburan strategik ke arah kecekapan operasi, perlindungan kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar,” menurutnya dalam Laporan Impak Sukuk Kelestarian 2024–2025.

Sejak diperkenalkan pada 2016, program dengan sasaran awal menggantikan 150 km paip setahun digandakan kepada 300 km setahun pada 2024 bagi mempercepat proses penggantian.

Secara keseluruhan, Air Selangor menyasarkan penggantian kira-kira 6,000km paip AC lama yang dikenal pasti berisiko tinggi, dengan sekitar 5,000km lagi masih menunggu untuk diganti.

Bagaimanapun, Air Selangor mengakui beberapa cabaran menjejaskan tempoh pelaksanaan projek, antaranya termasuklah:

  • tempoh kelulusan permit yang panjang daripada pihak berkuasa tempatan

  • penyelarasan kompleks dengan pelbagai agensi dan penyedia utiliti

  • aduan awam berkaitan gangguan sementara - tutup jalan, bunyi bising dan kerja pengalian

  • kesukaran teknikal dan logistik - keadaan tanah tidak dijangka

  • kekurangan kontraktor berkelayakan dengan keupayaan teknikal dan kewangan

Air Selangor turut menegaskan bahawa isu NRW kekal sebagai antara cabaran terbesar sektor perkhidmatan air, khususnya bagi utiliti berskala besar di kawasan bandar.

“Air Selangor komited menambah baik tadbir urus projek, memperkukuh penglibatan pihak berkepentingan serta meningkatkan pemantauan prestasi kontraktor.

“Langkah ini termasuk penggunaan sistem penjejakan projek digital dan platform komunikasi komuniti bagi meningkatkan ketelusan serta responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2026 memperuntuk RM542.8 juta bagi meneruskan program penggantian paip usang tahun ini melalui Air Selangor sekali gus mengukuhkan usaha menangani isu kebocoran dan gangguan bekalan air.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran negeri turut memperuntukkan RM40.4 juta kepada Program Penurunan NRW melibatkan beberapa inisiatif teknikal utama termasuk:

• penggantian paip komunikasi

• pemasangan Pressure Transient

• pengembangan liputan District Metering Zone (DMZ)

• penambahan anggota Leak Inspector

• pemasangan Permanent Noise Correlating Loggers

• pemasangan Advance Pressure Management Systems (APMS)