SHAH ALAM, 2 JAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan 42 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) hasil pelaksanaan Ops Cegah Sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di 11 lokasi tumpuan utama di negeri ini, semalam.
Operasi itu dijalankan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), dengan penguatkuasaan di bawah Seksyen 77A bermula jam 12.01 pagi, menyasarkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam termasuk puntung rokok, botol air, tin minuman, plastik, tisu dan pembalut makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata Ops Cegah bukan sekadar inisiatif bermusim sempena tahun baharu, sebaliknya dijalankan secara konsisten melalui pemantauan berterusan di seluruh negeri dan cawangan SWCorp.
“Ops Cegah Sempena Ambang Tahun Baharu 2026 ditamatkan pada jam 3 pagi, manakala operasi susulan diteruskan pada pagi ini bagi memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa pada tahap optimum,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk membuang sampah dalam tong yang disediakan, mematuhi undang-undang dan menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup.
Daripada jumlah kes direkodkan, 24 melibatkan warganegara Malaysia manakala 18 membabitkan warga asing, dengan 40 kes membabitkan golongan dewasa dan dua kes kanak-kanak.
SWCorp memaklumkan semua pesalah akan disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Operasi bersepadu itu melibatkan mobilisasi anggota penguat kuasa seluruh negara, penglibatan pengurusan tertinggi SWCorp, kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan, serta 330 kakitangan syarikat konsesi bagi memastikan kawasan terlibat kembali bersih.
Bagi kesalahan membuang sampah kecil, undang-undang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 dan mahkamah boleh mengenakan Perintah Khidmat Masyarakat sebagai hukuman tambahan sehingga enam bulan.




