SHAH ALAM, 1 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan dakwaan tular di media sosial kononnya Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit walk-in adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
KKM memaklumkan walaupun sistem janji temu merupakan kaedah utama pemberian rawatan, perkhidmatan walk-in tetap disediakan, khususnya bagi kes kecemasan, warga emas serta individu yang mempunyai kekangan akses teknologi.
Menurut kementerian itu, pesakit tanpa janji temu masih dilayan namun perlu melalui proses penilaian awal bagi menentukan tahap keutamaan rawatan.
“Pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
KKM turut menjelaskan pihaknya memahami perbezaan tahap akses teknologi dalam kalangan masyarakat dan justeru perkhidmatan walk-in diteruskan bagi memastikan semua lapisan rakyat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama.


