MBSJ digesa kaji trafik di Taman Bukit Serdang, elak sesak susulan pembangunan baharu

1 Jan 2026, 5:26 AM
MBSJ digesa kaji trafik di Taman Bukit Serdang, elak sesak susulan pembangunan baharu

SHAH ALAM, 1 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) digesa menjalankan kajian trafik secara rasmi susulan beberapa projek pembangunan baharu di Taman Bukit Serdang yang dijangka meningkatkan kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas.

Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata gesaan itu susulan pembangunan berskala kecil atau pocket development melibatkan kediaman bertingkat yang berpotensi menambah jumlah penduduk secara signifikan di kawasan berkenaan.

“Terdapat beberapa pembangunan baharu di Taman Bukit Serdang yang melibatkan kediaman bertingkat.

”Kehadiran projek ini akan membawa lebih ramai penduduk dan secara langsung meningkatkan aliran trafik,” katanya seperti dilapor The Star.

Menurut beliau, Taman Bukit Serdang kini hanya mempunyai tiga laluan utama iaitu Jalan Besar, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Jalan PBS 14/1, yang disifatkan tidak mencukupi bagi menampung pertambahan kenderaan pada masa hadapan.

“Keperluan laluan akses tambahan perlu dikaji kerana tiga laluan sedia ada dijangka tidak mampu menampung peningkatan trafik,” katanya lagi.

Siew Ki turut mencadangkan supaya kajian dan perancangan trafik berkenan dijalankan secara berasingan daripada pelaksanaan Pelan Tempatan MBSJ (DRTSJ) 2035 (Pindaan 1) yang sedang berlangsung.