SHAH ALAM, 8 NOV: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan kini berada pada tahap pembangunan hampir tepu, dengan dianggarkan hanya 20 hingga 30 peratus tanah kosong atau kawasan hutan yang masih belum dibangunkan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki, menggesa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) merancang lebih awal bagi melaksanakan pembangunan mampan dan mesra alam demi kesejahteraan rakyat pada masa depan.
“Sebagai negeri termaju dan peneraju ekonomi negara, Selangor mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan permintaan pembangunan yang besar. Namun, pembangunan pesat ini turut memberi kesan kepada alam sekitar serta kualiti hidup penduduk,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Wong, satu-satunya kawasan yang masih belum dibangunkan ialah hutan berhampiran Bukit Serdang di sepanjang Lebuhraya Maju (MEX).
“Berdasarkan anggaran kasar, sekitar 70 hingga 80 peratus tanah di kawasan saya telah dibangunkan. Kesan pembangunan yang pesat kini semakin ketara, termasuk peningkatan insiden banjir kilat yang sering mengganggu kehidupan penduduk,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa semua peringkat kerajaan — pusat, negeri dan PBT — perlu bersedia lebih awal menghadapi cabaran pembangunan masa depan dengan memperkenalkan pendekatan yang lebih lestari.
“Dalam pelan pembangunan masa depan, kita perlu menerapkan konsep ‘Bandar Span’ (Sponge City) yang berasaskan teknologi hijau moden untuk mengurangkan impak negatif terhadap ekosistem,” katanya.
Konsep Bandar Span berfungsi menyerap, menakung dan menapis air hujan bagi mengurangkan risiko banjir serta memelihara keseimbangan ekologi bandar.
Tambahnya, pendekatan lestari perlu diterapkan segera kerana aktiviti pembangunan kini berlumba dengan masa dan tidak akan berhenti. Beliau turut mencadangkan supaya pelbagai model pembangunan bandar hijau diterokai bagi menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.
Wong juga menekankan peranan penting pegawai di Pusat Setempat (OSC) dalam memastikan setiap kelulusan projek pembangunan mengambil kira aspek kelestarian dan alam sekitar.
“Pada masa ini, syarat tambahan dalam kelulusan pembangunan masih bersifat tradisional — seperti peruntukan tanah untuk sekolah atau menaik taraf infrastruktur asas.
"Kita perlu menambah komponen pembangunan hijau dan mampan sebagai keperluan baharu,” jelasnya.
Belanjawan Selangor 2026 akan dibentangkan pada 14 November ini, dengan fokus kepada ketahanan fiskal, pembangunan modal insan, serta memperkukuh kedudukan strategik negeri sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan belanjawan tersebut merupakan “belanjawan peralihan” yang bukan sahaja menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1), tetapi turut meletakkan asas kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dijangka dibentangkan tahun depan.







