Pegawai kanan tentera dirawat di ICU, SPRM sita aset mewah

29 Dis 2025, 9:56 AM
Pegawai kanan tentera dirawat di ICU, SPRM sita aset mewah

SHAH ALAM, 29 DIS: Seorang pegawai kanan tentera yang disiasat berhubung aliran tunai besar dalam akaun bank miliknya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak semalam.

BH melaporkan, suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, namun gagal berbuat demikian berikutan keadaan kesihatannya.

“SPRM dimaklumkan sehingga hari ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangan,” katanya hari ini.

Sementara itu, sumber memaklumkan SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi, termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai milik pegawai kanan tentera terbabit.

“Aset mewah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya.

Menurut sumber, siasatan SPRM ketika ini memfokuskan kepada aliran wang disyaki masuk ke akaun milik pegawai kanan tentera tersebut, yang disiasat sebagai suspek dalam kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.

“Kelmarin, SPRM sudah menjalankan operasi menggeledah pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kediaman rasmi suspek bermula sekitar jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

“Penggeledahan tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber berkata siasatan diteruskan dengan memanggil saksi-saksi utama, termasuk kontraktor yang dipercayai memperoleh projek berkaitan Tentera Darat.

“Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan lima pemilik syarikat dan jumlah keseluruhan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan adalah 10 orang,” katanya.

Beliau berkata, agensi itu turut menyiasat kira-kira 40 syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah, dengan siasatan dijalankan secara berperingkat.

SPRM dijangka terus memperluaskan skop siasatan, termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek serta kaitan individu dan syarikat yang terlibat, selaras peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.

Selasa lepas, pegawai SPRM telah hadir ke MINDEF, dan tumpuan terarah kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.