SPRM tahan pengurus syarikat, disyaki guna dokumen palsu kurangkan cukai RM200 juta

1 Okt 2026, 10:30 AM
SPRM tahan pengurus syarikat, disyaki guna dokumen palsu kurangkan cukai RM200 juta

PUTRAJAYA, 1 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang pengurus syarikat sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan kewangan dan korporat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta.

Perintah reman tiga hari hingga Sabtu ini terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Illya Syaheedah Mohd Razif selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

“Lelaki itu ditahan kira-kira 7 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini,” menurut SPRM.

Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara 2018 hingga tahun ini.

Lelaki berkenaan dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa selain memanipulasi kira-kira 480 akaun syarikat menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai, selain mengumpul kekayaan melalui aktiviti berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.