SHAH ALAM, 29 DIS: Persatuan Ragbi Putrajaya (PRP) menegaskan bahawa aspek keselamatan pemain menjadi keutamaan utama sepanjang penganjuran Liga Ragbi Super Putrajaya 2026 (PSR 2026).
Persatuan itu memaklumkan langkah keselamatan yang dilaksanakan merangkumi pemeriksaan kesihatan asas pemain, pengurusan masa rehat dan jadual perlawanan yang munasabah selain pengendalian kecederaan dengan sokongan perkhidmatan perubatan.
“Turut ditekankan penguatkuasaan standard pengadilan yang ketat bagi memastikan perlawanan berlangsung secara terkawal dan selamat.
“Pendekatan tersebut penting bagi melindungi kebajikan pemain serta memastikan pembangunan sukan ragbi dapat dilaksanakan secara mampan dan berdisiplin,” katanya menerusi kenyataan.
PRP berkata kejohanan tersebut berperanan sebagai platform pembangunan ekosistem liga yang tersusun, membolehkan kelab-kelab gabungan terlibat secara aktif dalam pembangunan pemain, pengurusan pasukan dan pengendalian pertandingan secara lebih profesional.
“Ia bukan sekadar menawarkan saingan kompetitif, malah menyediakan pendedahan kepada jurulatih berpengalaman, analisis permainan serta suasana pertandingan berintensiti tinggi,” kata kenyataan itu.
Menurut PRP, liga tersebut turut memberi fokus kepada pembangunan atlet tempatan khususnya pemain muda dan pasukan universiti, sekali gus membuka laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun ke peringkat negeri dan kebangsaan.
PRP turut menyasarkan penganjuran PSR 2026 dapat menyokong pembentukan liga pemain tempatan yang lebih kompetitif, meningkatkan tarikan penonton, liputan media serta sokongan penaja terhadap sukan ragbi di Putrajaya dan Malaysia secara amnya.
Butiran pertandingan:
• Tempoh: 3 Januari hingga 1 Februari 2026
• Pasukan bertanding: Asas RC, Southern Oilers RC, Knuckles RC, SDAR Lions RC, UKM Bandits RC, MMU Hornbills RC, Phytons RC dan Kajang Rams RC
• Venue peringkat awal: Padang Ragbi Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya
• Venue peringkat akhir: Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM)


