SHAH ALAM, 13 MEI: Usaha berterusan dalam memantau kawasan cerun antara langkah utama bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Lembah Jaya terus terjamin.
Wakil rakyat Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad berkata, pemantauan cerun dilaksanakan secara berkala menerusi kerjasama erat antara Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Pejabat Daerah serta Tanah Hulu Langat.
Menurut beliau, kawasan sekitar Hulu Langat dan Gombak dikenal pasti mempunyai risiko lebih tinggi berbanding kawasan mendatar, justeru memerlukan pemantauan dan tindakan yang lebih teliti serta menyeluruh.

“Pemantauan ini mungkin tidak dapat menghapuskan risiko sepenuhnya, tetapi kita boleh mengurus dan mengurangkannya. Kawasan berisiko tinggi akan diberi perhatian khusus dan dipantau secara konsisten,” katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor.
Beliau berkata, ketua kampung memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ di lapangan dalam mengesan sebarang petunjuk awal yang berpotensi mengundang kejadian tidak diingini.
Dalam masa sama, Syed Ahmad mengakui usaha pencegahan seperti pemantauan cerun sering tidak disedari masyarakat kerana tiada kejadian berlaku.
“Kadangkala orang tidak nampak usaha ini. Hakikatnya, ‘no news is good news’. Selagi tiada kejadian, itu petanda pemantauan kita berkesan.
“Yang penting, kita menjalankan tanggungjawab. Persepsi mungkin berbeza, tetapi usaha tetap diteruskan.” katanya.








