EXCO: Keselamatan sekolah perlu dipertingkat, elak tragedi berulang

6 Mei 2026, 2:45 PM
EXCO: Keselamatan sekolah perlu dipertingkat, elak tragedi berulang

SHAH ALAM, 6 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, Papparaidu Veraman menggesa langkah keselamatan di kawasan sekolah dipertingkatkan segera bagi mengelakkan tragedi kemalangan melibatkan murid berulang.

Beliau yang juga EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan berkata, insiden kemalangan yang meragut nyawa seorang murid baru-baru ini sangat menyedihkan dan mengejutkan masyarakat.

“Kawasan sekolah sepatutnya menjadi zon paling selamat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan bukannya menjadi lokasi yang mengancam nyawa akibat kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya.

“Sikap tergesa-gesa, tidak mematuhi undang-undang boleh mengundang tragedi. Justeru, tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan terhadap individu yang memandu secara berbahaya di kawasan sekolah,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Dalam pada itu, Papparaidu menegaskan kejadian tersebut merupakan amaran serius bahawa aspek keselamatan di kawasan sekolah masih mempunyai kelemahan yang perlu ditangani segera.

Menurutnya, situasi itu semakin membimbangkan susulan rakaman tular di media sosial yang memaparkan pemandu tidak peka keselamatan di kawasan sekolah termasuk melanggar lampu isyarat dan memandu laju.

Papparaidu menambah, kawasan sekolah sering sesak dengan kenderaan ibu bapa, van dan bas sekolah terutama pada waktu puncak, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan murid jika tiada kawalan lebih tegas dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkaitan termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak berkuasa tempatan serta polis memperkukuh langkah keselamatan khususnya dari segi penyusunan trafik di kawasan sekolah.

Pada 4 Mei lalu, media melaporkan murid perempuan Tahun Dua maut selepas dilanggar van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Johor.

Difahamkan, mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dipercayai baru selesai sesi persekolahan dan keluar dari pintu pagar sebelum dirempuh van yang kebetulan keluar dari kawasan sekolah selepas menghantar barang tanpa menyedari kehadiran mangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.