Perkuburan Islam berkonsep Raudhatul Sakinah di Selayang, kemudahan lebih teratur dan selesa

29 Dis 2025, 12:00 AM
Perkuburan Islam berkonsep Raudhatul Sakinah di Selayang, kemudahan lebih teratur dan selesa
Perkuburan Islam berkonsep Raudhatul Sakinah di Selayang, kemudahan lebih teratur dan selesa
Perkuburan Islam berkonsep Raudhatul Sakinah di Selayang, kemudahan lebih teratur dan selesa

GOMBAK, 29 DIS: Tapak perkuburan Islam dalam taman berkonsepkan Raudhatul Sakinah yang dibangunkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.

Pengarah Jabatan Landskapnya, LAr. Mokhtar Affandi Abdul Ghani berkata tapak perkuburan itu berbeza kubur sedia ada dan buat pertama pertama kalinya dibangunkan dalam kawasan Selayang.

“Ia berbeza dengan pembangunan kubur yang sedia ada. Pembangunan kubur ini dirancang berkonsepkan landskap. Maknanya tempat ini akan ada taman rekreasi juga perancangan ruang awam yang lebih tersusun.

“Dan kita akan ada perabot landskap seperti wakaf, ruangan pejalan kaki. Pada masa sama MPS juga akan sediakan kepok kubur, orang awam tidak perlu bawa kepok, MPS akan sediakan,” katanya.

Pengarah Jabatan Landskapnya, LAr. Mokhtar Affandi Abdul Ghani

Beliau berkata demikian ketika lawatan tapak oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Kampung Sungai Kertas, hari ini.

Amirudin sebelum itu memberitahu, kubur yang mempunyai lebih 7,000 unit lot tapak kubur itu mampu menyelesaikan masalah kesesakan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Sementara itu Ketua Kampung Sungai Tua Baharu Gombak, Zulkifli Hamzah gembira dengan persiapan tapak perkuburan baharu yang terletak berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas berkenaan.

Ketua Kampung Sungai Tua Baharu Gombak, Zulkifli Hamzah

Menurutnya, tapak kubur sedia ada sudah sesak sehingga menyebabkan penduduk terpaksa membawa jenazah lebih jauh iaitu di Lagong dan juga Templer.

"Saya mewakili penduduk sangat bersyukur kerana Kerajaan Negeri meluluskan projek ini, sebab kawasan ini memang kekurangan (tapak kubur), sudah tepu sangat dah.

"Ada kubur di jalan Sungai Tua, di Selayang pun sudah penuh. Jika dah buka tapak ini, alhamdulillah memang sangat memudahkan. Hendak pula kawasan ini majoritinya memang orang Islam, ikutkan penduduknya ada lebih 6,000 orang," katanya ketika ditemui.

Mengikut Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, tapak perkuburan berkonsepkan Raudhatul Sakinah meliputi 80 peratus tapak pengkebumian, 6 peratus tapak kemudahan infrastruktur dan pengurusan, manakala 14 peratus sebagai rangkaian pejalan kaki.

Tapak pengebumian dibahagikan mengikut blok-blok berukuran 120 kaki x 160 kaki yang dipisahkan dengan siar kaki yang dihiasi dengan pokok-pokok renek.