SHAH ALAM, 24 OKT: Banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama pada Khamis bukan sahaja menenggelamkan kawasan penempatan penduduk, malah turut menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan, Kuala Trong, Bukit Gantang.
Penduduk memaklumkan, terdapat beberapa kubur dilaporkan terhakis serta keranda kayu terkeluar hingga mengakibatkan jenazah di dalamnya hanyut dibawa arus deras.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, insiden itu antara kesan paling menyedihkan dalam bencana kali ini memandangkan kawasan tersebut menjadi tempat persemadian penduduk tempatan, katanya dipetik Sinar Harian.
"Bila saya tengok gambar yang dikongsi, memang menyayat hati. Batu nisan tercabut, ada keranda (papan lahad) yang sudah terkeluar.
"Kita difahamkan ada mayat yang hanyut, tetapi orang kampung sudah ambil untuk dikebumikan semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Simpang, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan segera akan diambil sebaik air surut termasuk menyewa jentera bagi menolak kembali tanah yang runtuh dan menutup semula kawasan berkenaan bagi mengelak gangguan lanjut.
"Ini tindakan segera. Saya anggap perkara ini darurat dan kalau perlu, saya guna dana sendiri untuk kerja menutup semula kawasan itu," jelasnya.
Sementara itu, Syed Abu Hussin turut memaklumkan, mangsa banjir di kawasan Parlimen Bukit Gantang yang terdiri daripada ibu berpantang, warga emas uzur serta pesakit kronik akan ditempatkan sementara di hotel bagi menjamin keselesaan dan keselamatan mereka.
Katanya, langkah itu diambil susulan keadaan di beberapa PPS yang padat dan tidak sesuai untuk golongan berisiko tinggi.
"Ada yang sakit dan tidak mampu tidur di bangku, malah ada ibu baru bersalin bersama bayi kecil. Mereka ini akan dibawa ke hotel supaya dapat berehat dengan lebih selesa.
"Ini bukan soal kemewahan, tetapi keperluan demi kesihatan dan keselamatan mereka,” katanya.






