Pemilik kenderaan guna nombor plat 'fancy' boleh didenda sehingga RM10,000 - JPJ

28 Dis 2025, 6:08 AM
Pemilik kenderaan guna nombor plat 'fancy' boleh didenda sehingga RM10,000 - JPJ

SHAH ALAM, 28 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan nombor pendaftaran kenderaan berbentuk ‘fancy’ dan mengelirukan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk mendapatkan pandangan timbalan pendakwa raya berhubung kesalahan berkenaan, lapor Sinar Harian.

“Pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ ekstrem akan disaman kerana mempamerkan nombor pendaftaran yang mengelirukan. Kes ini telah dibawa ke mahkamah dan hukuman minimum yang dikenakan adalah RM5,000 serta boleh mencecah sehingga RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Pelbagai JPJ di Jalan Ampang pada Ahad. Turut hadir Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Menurut Muhammad Kifli, pihaknya mendapati peningkatan penggunaan nombor pendaftaran ekstrem melibatkan motosikal dan kereta sejak kebelakangan ini sehingga menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 4,762,238 notis saman JPJ bernilai RM1.42 bilion masih belum dilunaskan setakat tempoh diskaun 50 peratus saman yang akan berakhir pada 30 Disember ini.

“Sehingga 27 Disember, sebanyak 702,606 saman bernilai RM93.5 juta telah dibayar,” katanya.

JPJ, katanya, menggalakkan pengguna jalan raya yang masih mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang melunaskan bayaran dengan diskaun sehingga 50 peratus sebelum tempoh berkenaan tamat.

“Seperti yang disarankan Menteri Pengangkutan, mulai 1 Januari tahun hadapan, semua saman yang tidak dijelaskan akan disenarai hitam,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan penyelarasan kadar serta kaedah kompaun saman trafik JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Melalui penyelarasan itu, pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh satu hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50 peratus, 33 peratus bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, kadar maksimum bagi tempoh 31 hingga 60 hari, manakala tindakan mahkamah serta senarai hitam akan dikenakan selepas 61 hari.