Penganjur RXZ Members diarah sedia platform pendaftaran peserta, sertakan gambar motosikal - JPJ

13 Ogos 2026, 3:22 AM
Penganjur RXZ Members diarah sedia platform pendaftaran peserta, sertakan gambar motosikal - JPJ

SHAH ALAM, 13 OGOS: Penganjur himpunan RXZ Members diarahkan menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian dengan menetapkan beberapa syarat bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan.

Perkara itu dipersetujui dalam Sesi Libat Urus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama penganjur RXZ Members yang dipengerusikan Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan di Bahagian Penguat Kuasa, Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, semalam, lapor Berita Harian.

Muhammad Kifli berkata, peserta diwajibkan memiliki lesen memandu yang sah, manakala motosikal yang didaftarkan perlu mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans yang masih berkuat kuasa.

Katanya, peserta turut perlu melampirkan empat gambar motosikal yang didaftarkan, membabitkan gambar nombor pendaftaran dari bahagian depan dan belakang serta sisi kiri dan kanan motosikal.

"Selain itu, pengurusan risiko perlu dilaksanakan secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara.

"Ini termasuk aspek kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan serta penguatkuasaan secara strategik dengan memberi keutamaan kepada kesalahan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut diperlukan dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) bagi membantu melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Sesi berkenaan turut dihadiri Pengarah JPJ Pahang, Melaka dan Terengganu, pegawai kanan JPJ Ibu Pejabat serta wakil Bahagian Korporat, Bahagian Kejuruteraan Automotif dan Bahagian Keselamatan Jalan Raya.

Turut hadir wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Muhammad Kifli berkata, JPJ turut mengesyorkan pendekatan berperingkat menerusi libat urus awal, pendidikan dan kesedaran sebelum tindakan penguatkuasaan tegas diambil apabila perlu.

Menurutnya, kerjasama erat antara penganjur, JPJ, PDRM dan agensi teknikal berkaitan penting bagi memastikan penganjuran acara berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.

Katanya, sesi berkenaan menjadi platform strategik untuk membincangkan aspek keselamatan jalan raya serta langkah penambahbaikan dalam pengurusan risiko, khususnya bagi penganjuran acara permotoran berskala besar.

"JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab. Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan.

"JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penganjur pada masa akan datang," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.