Gempa bumi lemah magnitud 3.4 berlaku di Bukit Kepong

28 Dis 2025, 1:55 AM
Gempa bumi lemah magnitud 3.4 berlaku di Bukit Kepong

SHAH ALAM, 28 DIS: Gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 berlaku di sekitar Bukit Kepong, Pagoh di sini pada pukul 8.55 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gegaran dirasai beberapa kawasan di Johor dan Melaka.

Menurut agensi tersebut, gempa bumi itu berpusat pada koordinat 2.4 darjah utara dan 102 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer (km).

“Gempa lemah yang jaraknya 16 km barat daya Pagoh itu tidak memberikan ancaman tsunami kepada Malaysia,” menurut agensi itu menerusi kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa serta kerosakan harta benda dilaporkan berlaku.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil serius soal keselamatan rakyat dan pemantauan rapi sedang dijalankan bersama agensi berkaitan .

“Saya menasihatkan orang ramai agar kekal bertenang, menjauhi struktur yang tidak kukuh serta sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.