AMPANG JAYA, 27 DIS: Kerajaan Selangor kini menunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menyiapkan laporan berkaitan proses persempadanan semula melibatkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan berkenaan akan menjadi asas kepada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Selepas laporan siap, kita akan meterai MoU bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan seterusnya proses pemuktamadan persempadanan dapat dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan agihan sumbangan Kembali ke Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan proses persempadanan antara Selangor dan Putrajaya dijangka dimuktamadkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, dengan sebahagian besar kawasan sempadan melibatkan Putrajaya, Sepang dan Kuala Langat hampir selesai.
Pada masa sama, beliau berkata JUPEM telah menyelesaikan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejauh 103.7 kilometer pada hujung Oktober 2024.
“Secara keseluruhan, sebanyak 86 lembar peta direkodkan melibatkan jajaran sempadan sepanjang 103.7 kilometer,” katanya.


