Selangor komited pastikan kebajikan penduduk Kampung Batu 11 Gombak terjaga

26 Dis 2025, 1:00 PM
Selangor komited pastikan kebajikan penduduk Kampung Batu 11 Gombak terjaga

GOMBAK, 26 DIS: Kerajaan Negeri komited memastikan kebajikan penduduk Kampung Batu 11, Gombak terjaga melalui penempatan yang sesuai dan bantuan tepat, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri sedang menunggu lokasi yang sesuai untuk menempatkan penduduk terbabit supaya mereka dapat tinggal dalam keadaan selamat dan teratur.

“Kita perlu mengenal pasti setiap rumah dan setiap penduduk yang terjejas di Kampung Batu 11, Gombak supaya bantuan dapat disalurkan dengan tepat dan mereka tidak terabai.

"Kerajaan Negeri komited mencari lokasi yang sesuai sebagai penempatan sementara dan memastikan keperluan asas mereka dipenuhi secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih, hari ini.

Pada 8 November lalu, Amirudin memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor masih berbincang mengenai proses pengosongan rumah penduduk termasuk menangguhkan tarikh selepas notis kedua dikeluarkan Jabatan Perhutanan Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri juga bertindak sebagai perantara dengan pemaju dan mengadakan rundingan untuk menambah baik kualiti sedia ada bagi membantu penduduk.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Kampung Batu 11, Gombak menerima notis pertama pada 15 Oktober 2024 membabitkan 24 rumah namun diberikan penangguhan tanpa tarikh tetap.

Bagaimanapun, pada 9 Oktober, penduduk sekali lagi menerima notis baharu yang mengarahkan mereka mengosongkan rumah dalam tempoh sembilan hari dengan membabitkan lebih 70 penduduk berdepan risiko diusir dari 24 kediaman.