Ribut petir, hujan lebat dijangka landa seluruh Selangor, KL dan Putrajaya hingga 9 malam

26 Dis 2025, 10:06 AM
Ribut petir, hujan lebat dijangka landa seluruh Selangor, KL dan Putrajaya hingga 9 malam

SHAH ALAM, 26 DIS: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Selangor serta beberapa negeri lain sehingga jam 9 malam ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, keadaan cuaca buruk itu turut melibatkan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan), Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) serta Pahang (Raub, Bentong dan Temerloh).

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor melibatkan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Di Malaysia Timur, cuaca buruk dijangka berlaku di Sarawak meliputi Kuching (Bau), Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah (Daro dan Matu), Kapit (Song, Kapit dan Belaga), Bintulu, Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) serta Limbang.

Sabah turut dijangka mengalami ribut petir di kawasan Pedalaman termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan selain Tawau serta Sandakan melibatkan Telupid dan Beluran, manakala Wilayah Persekutuan Labuan juga terlibat.

Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.

“Amaran ini bersifat jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti luar serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.