PETALING JAYA, 27 DIS: Sepuluh tahun lalu, kasih seorang bapa terhadap anaknya yang menghidap cerebral palsy membawa kepada penubuhan persatuan sukan boccia terawal di Malaysia.
Mustafa Ariffin, 73, tekad mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Boccia Selangor demi anak bongsunya, Mohd Shahrul Rafiq, 35, yang menghidap cerebral palsy sejak kecil.
Dalam usaha memaknakan kehidupan anaknya menerusi aktiviti riadah, Mustafa, berjaya membentuk komuniti ibu bapa anak kelainan upaya (OKU) untuk turut serta terlibat dalam sukan boccia.

Mustafa sedar, hanya sukan boccia satu-satunya aktiviti riadah yang boleh disertai golongan berkenaan, khususnya individu cerebral palsy atau spastik.
“Sebelum buat persatuan ini, anak saya sudah dapat sedikit pendedahan mengenai sukan boccia di sekolahnya, tambahan pula ada dua tiga orang kawan-kawannya juga sertai sukan boccia.
“Jadi saya nekad untuk kumpulkan mereka dan tubuhkan persatuan boccia, beri mereka ruang untuk beriadah. Saya juga mahu bantu OKU untuk dapatkan satu sukan, saya buat sampai sekarang,” katanya kepada Media Selangor.
Kini, Persatuan Boccia Selangor yang terletak di Taman Megah, Petaling Jaya terus mengorak langkah ke hadapan dan menjadi antara peneraju terawal dalam sukan boccia di Malaysia.

Mustafa berkata, Persatuan Boccia Selangor juga rancak mencari dan melatih bakat-bakat muda berumur antara 14 hingga 35 tahun untuk diketengahkan sehingga ke peringkat tertinggi.
“Persatuan Boccia Selangor ini sudah 10 tahun ditubuhkan. Kita adalah persatuan boccia terawal di Malaysia, kemudian diikuti penubuhan di negeri-negeri lain.
“Macam kita di Selangor, saya pergi ke sekolah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan kita cari bakat-bakat baharu di sana untuk kita serapkan dalam negeri,” katanya.
Mustafa mengakui, status sukan boccia yang masih kurang dikenali dalam kalangan peminat sukan tempatan menyebabkan persatuan itu sukar untuk mencari penaja, berbanding sukan terkenal lain.
Beliau bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudi membantu meringankan beban Persatuan Boccia Selangor, termasuk tidak mengenakan sebarang sewaan premis.
“Bangunan ini alhamdulillah, MBPJ beri secara percuma tanpa bayaran sewa. Sejak kita tubuhkan, memang tiada bayaran. Terima kasih kepada MBPJ, banyak jasa mereka. Memang adakalanya sedikit sempit, tapi kita buat sistem giliran,” katanya.

Sementara itu, ibu pemain, Junaidah Abdul Hamid, 58, sanggup memandu sejauh lebih 60 kilometer (km) selama lima hari seminggu untuk membawa anaknya, Mohd Yusuuf Hamzah, 24, menyertai latihan sukan boccia.
Kegigihan ibu tunggal ini membuahkan hasil apabila anak bongsunya itu kini merupakan atlet sukan boccia Selangor sejak 2018.
“Mohd Yusuuf mewakili Selangor sejak 2018. Beliau dapat pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Perak dan pingat perak pada SUKMA di Kuala Lumpur.
“Memang perlu ada kesabaran yang tinggi untuk melatih anak saya. Tetapi saya tahu latihan ini sangat penting dan menentukan kejayaan dirinya,” katanya.
Junaidah yang juga pembantu sukan boccia berkata, Mohd Yusuuf perlu dibantu sepenuhnya berikutan anaknya merupakan atlet sukan boccia yang dikategorikan dalam BC3.
Kategori BC3 adalah pemain yang hilang upaya gerakan semua lengan dan kaki secara ketara, dan dibenarkan bertanding dengan pembantu.
Namun pembantu mesti membelakangkan diri daripada gelanggang serta tidak menonton pertandingan yang sedang berlangsung.
Tugas itu, menurut Junaidah, menuntut ketekunan dan kekuatan tenaga selain perlu bijak mengendalikan emosi Mohd Yusuuf ketika sedang beraksi di lapangan.
“Bersyukurlah ada sukan untuk anak cerebral palsy macam ini. Tapi permainan ini sebenarnya memerlukan ketajaman akal juga. Dia memang sentiasa bersemangat mahu main,” katanya yang berharap Mohd Yusuuf menampilkan kecemerlangan pada SUKMA Selangor 2026.




