Sukarelawan SPM 2025 tertinggi, bukti usaha ringankan beban guru

25 Dis 2025, 8:13 AM
Sukarelawan SPM 2025 tertinggi, bukti usaha ringankan beban guru

SHAH ALAM, 25 DIS: Seramai 8,006 orang sukarelawan dilantik untuk membantu pengendalian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025, menjadikannya jumlah tertinggi sejak inisiatif itu diperkenalkan.

Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, inisiatif sukarelawan peperiksaan SPM mula dilaksanakan pada tahun 2023 dengan matlamat utama untuk meringankan beban tugas guru, khususnya dalam aspek pengurusan peperiksaan.

"Sepanjang tiga tahun pelaksanaan, seramai 20,997 sukarelawan telah terbabit secara langsung dalam membantu kelancaran pengendalian SPM di seluruh negara.

"Kami tidak akan pernah berhenti berikhtiar, mencari jalan bagi menangani beban tugas guru.

“Ini memastikan golongan pendidik dapat memberi sepenuh tumpuan kepada tugasan pengajaran dan pembelajaran serta pada masa sama kesejahteraan mereka terpelihara," katanya menerusi Facebook.