Amaran ribut petir di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat hingga 5 petang

25 Dis 2025, 7:55 AM
Amaran ribut petir di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat hingga 5 petang

SHAH ALAM, 25 DIS: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor sehingga jam 5 petang hari ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

METMalaysia menerusi Facebook memaklumkan, amaran cuaca buruk itu melibatkan daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

Keadaan cuaca sama turut diramalkan berlaku di beberapa negeri lain termasuk Kuala Lumpur.

Di Perak, kawasan terjejas melibatkan Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim, manakala di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut serta Kuantan.

Sementara itu di Sarawak, amaran cuaca dikeluarkan bagi kawasan Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu serta Miri (Subis dan Miri).

Di Sabah, cuaca buruk dijangka melibatkan Pantai Barat iaitu Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud; Tawau (Tawau); Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh lebih satu jam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.