LUAS keluar kompaun hampir RM5 juta atas pelbagai kesalahan

25 Dis 2025, 5:50 AM

SHAH ALAM, 25 DIS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengeluarkan 124 kompaun membabitkan jumlah RM4.87 juta melibatkan pelbagai kesalahan setakat 23 Disember lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantainya, Haslina Amer berkata kompaun dikeluarkan bawah Enakmen Luas 1999 itu tidak hanya kepada kilang tetapi turut melibatkan aktiviti kerja tanah dan pembangunan.

“Kita terima 96 aduan daripada umum berhubung pelbagai kes dan semuanya diterima bagi membolehkan siasatan dijalankan supaya tindakan pencegahan dapat diambil.

“Bagi tindakan penguatkuasaan, 124 kompaun termasuk sembilan berkaitan pencemaran dikeluarkan dengan jumlah RM4.87juta malah 30 kertas siasatan masih dalam tindakan lanjut,” katanya ditemui pada sesi libat urus bersama media semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada kod merah atau henti tugas loji rawatan air dilaporkan setakat ini berikutan tindakan penguatkuasaan yang dilaksana sepanjang 24 jam.

“Pencemaran memang sentiasa berlaku tidak mengira waktu panas atau hujan. Antara punca pencemaran kerana kemalangan yang menyebabkan sisa kumbahan tumpah, pembukaan tanah disebabkan aktiviti pertanian dan pelepasan efluen.

“Malah, tiada perbezaan kawasan ‘hotspot’ kerana tempat kejadian biasanya lokasi sama dan setakat ini lembangan Sungai Langat sering menjadi tumpuan kerana kawasan pesat membangun,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap siaga sepanjang 24 jam dengan melaksana kawalan bagi membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil segera.