SHAH ALAM, 2 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelakkan pencemaran air di Sungai Gombak, susulan insiden kemalangan membabitkan lori membawa muatan minyak hidraulik di KM 31.8 Lebuhraya Karak, semalam.
LUAS memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang dan bergegas ke lokasi untuk melakukan semakan di tapak serta kawasan persekitaran.
Menurutnya, LUAS mendapati minyak hidraulik berkenaan memasuki kawasan longkang lebuh raya dan berpotensi mengalir masuk ke dalam Sungai Gombak sekali gus berisiko kepada operasi muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak.
“Semakan lanjut pasukan LUAS mendapati pihak konsesi, AFA Prime Berhad telah melakukan langkah pencegahan dan kawalan awal dengan menabur serbuk kayu di atas jalan serta membina ban tanah dan pasir di dalam longkang.
“Pasukan LUAS juga telah meletakkan oil boom dan oil pad di beberapa lokasi di hilir lokasi kemalangan sepanjang longkang lebuhraya sebelum masuk ke Sungai Gombak sebagai langkah kawalan pencemaran,” katanya menerusi Facebook.
LUAS menambah, kerja penyedutan dan pembersihan tumpahan minyak selesai dilaksanakan pada jam 5 pagi, manakala kerja pengalihan kenderaan selesai dibuat pada jam 6.30 pagi.
Agensi itu memaklumkan, LUAS turut melakukan verifikasi di tapak dan mendapati tiada lagi kesan sisa minyak di lokasi dan tiada aliran bahan pencemar masuk ke dalam sungai berhampiran.
“LUAS merakamkan penghargaan kepada pihak AFA Prime Berhad, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd atas komitmen bersama melaksanakan mitigasi insiden ini dengan segera dan mengelakkan permasalahan yang lebih teruk kepada sumber air negeri,” katanya.








