Kes dakwaan pukul ketika tangkapan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Selangor

25 Dis 2025, 12:03 AM
Kes dakwaan pukul ketika tangkapan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Selangor

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kertas siasatan berhubung kejadian mendatangkan cedera melibatkan pegawai dan anggota polis ketika menjalankan tangkapan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor untuk nasihat dan arahan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar dalam kenyataan berkata kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular baru-baru ini.

“Laporan polis diterima pada 18 November 2025 daripada seorang wanita mendakwa anak lelakinya dipukul ketika proses tangkapan dilakukan,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera.

Kumar menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan, bagi menjamin keadilan serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.

Kelmarin media melaporkan polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul individu dipercayai anggota polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa, yang mendakwa menerima rakaman CCTV berdurasi tiga minit memaparkan anaknya ditampar oleh individu memperkenalkan diri sebagai polis.

Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali dengan tujuan ingin mencari barang bukti dan bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara itu berlaku.

- BERNAMA