Operasi SAR anggota polis terbabas dalam parit banjir dipergiat

29 Nov 2025, 9:17 AM
Operasi SAR anggota polis terbabas dalam parit banjir dipergiat

SELAYANG,29 NOV: Usaha pencarian seorang anggota polis dipercayai lemas selepas kereta Perodua Bezza yang dinaikinya terbabas dalam parit dipergiat.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata usaha berterusan dilakukan semua pihak bagi memastikan individu itu ditemui segera.

“Buat masa ini, gerakan mencari dan penyelamat dipergiat. Selain bantuan di pusat pemindahan sementara (PPS), isu keselamatan menjadi keutamaan.

“Semua diminta bersiap siaga dalam mendepani musim monsun ini. Jika kita tidak bersedia dalam apa jua insiden, ia adalah suatu kegagalan,” katanya selepas merasmikan November bulan keluarga kebangsaan peringkat negeri di sini, hari ini.

Semalam pemandu kereta dipercayai lemas selepas kenderaan Perodua Bezza yang dinaikinya terbabas dalam parit berhampiran Klinik Desa Giching, Sepang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mangsa dipercayai cuba berenang keluar dari parit berkenaan selepas kenderaan dinaiki tidak dapat meneruskan perjalanan.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan mangsa merupakan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira 10.20 malam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan.

Mengulas lanjut, Anfaal memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai penyelaras bantuan sentiasa koordinasi setiap bantuan diperlukan mangsa di PPS.

“Selain itu, banyak juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan kepada mangsa dan kita selaraskan dengan baik,” ujarnya.

Setakat jam 4 petang ini, 33 PPS dibuka di lima daerah dengan menempatkan 1,232 mangsa. PPS itu membabitkan Kuala Selangor (14), Sepang (9), Kuala Langat (6), Sabak Bernam (3) dan Klang(1).