Mayat wanita dalam beg, ditanam di rumah kosong sah Suri Narudin

24 Dis 2025, 5:37 AM
Mayat wanita dalam beg, ditanam di rumah kosong sah Suri Narudin

SHAH ALAM, 24 DIS: Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui dalam beg dan ditanam di sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau pada 18 Disember lalu adalah milik Suri Narudin yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan identiti mangsa dibuat menerusi padanan cap jari dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Polis telah mengemukakan satu set cap jari untuk diperiksa dan dibandingkan di Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan cap jari itu sepadan dengan rekod atas nama Suri Narudin, individu yang dilaporkan hilang melalui laporan di Balai Polis Ampang pada 15 Disember,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Beliau turut memaklumkan, keputusan analisis DNA Jabatan Kimia Malaysia yang diterima turut mengesahkan identiti mayat berkenaan.

“Perbandingan profil DNA menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat iaitu adik-beradik kandung dengan kebarangkalian yang sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan pengesahan identiti sebagai Suri Narudin,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan mayat wanita terbabit ditemui dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Batu 4, Pedas.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki di lokasi berasingan, masing-masing di Melaka dan Genting Sempah, dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan mayat.

Salah seorang daripada suspek dipercayai mengenali mangsa, menjadikan beliau sebagai individu utama dalam siasatan kes itu.

Alzafny berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau atau mana-mana balai polis berhampiran.