SEREMBAN, 20 DIS: Suspek utama kes penemuan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di belakang rumah kosong dekat Pedas, Rembau, dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk permohonan reman.
Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi dengan memakai baju lokap jingga, selepas dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau menggunakan van polis.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek ditahan di kawasan Genting Sempah kurang 24 jam selepas penahanan suspek pertama di Melaka, petang semalam.
Menurutnya, identiti mayat wanita dalam beg itu masih belum dapat disahkan memandangkan keadaan jasad yang sudah reput.
“Selain itu, bedah siasat dijalankan Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau dan punca kematian adalah ‘undetermined’ memandangkan jasad si mati sudah reput,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Suri daripada keluarga terdekat wanita itu.
Sebelum itu, tular rakaman video penyanyi Mac Ruhayu yang memohon bantuan orang ramai bagi mengesan rakannya yang dilaporkan hilang dan gagal dihubungi.
Difahamkan, wanita berkenaan dijadualkan berlepas ke luar negara pada 9 Disember lalu, namun gagal dihubungi sejak sehari sebelumnya.


