SHAH ALAM, 21 DIS: Polis percaya wanita yang mayatnya ditemukan di dalam beg dan ditanam berhampiran sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas di sini, dibunuh di Ampang, Selangor sebelum dibawa ke lokasi berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan suspek di sebuah rumah di Ampang.
“Hasil soal siasat dan keterangan diperoleh mendapati mangsa dan suspek bergaduh di rumah mangsa di Ampang sebelum mangsa dipercayai dicekik hingga meninggal dunia.
“Mayat kemudiannya dibawa dan ditanam di Rembau,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata polis sebelum ini menahan dua lelaki masing-masing berusia 51 dan 41 tahun di Melaka serta Genting Sempah, Pahang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengulas identiti mangsa, Muhammad Idzam berkata proses tuntutan mayat belum dapat dilakukan kerana identiti wanita berkenaan masih belum disahkan.
“Walaupun siasatan menjurus kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang di Ampang sejak 8 Disember lalu, pengesahan identiti secara rasmi masih diperlukan,” katanya.
Menurut beliau, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) telah diambil daripada beberapa ahli keluarga dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya bagi tujuan pengesahan.
“Keadaan mayat yang sudah mereput menyukarkan proses pengecaman fizikal, justeru siasatan kini bergantung kepada keputusan ujian DNA yang dijangka mengambil sedikit masa,” katanya.
Pada Khamis lalu, mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan dibungkus di dalam beg dan ditanam di belakang sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau.


