SHAH ALAM, 20 DIS: Rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat wanita ditanam di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau, Khamis lalu dipercayai milik keluarga suspek utama yang kini direman bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata lelaki berusia 51 tahun itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu e-hailing.
“Polis percaya rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat pada Khamis lalu adalah milik keluarga suspek utama yang ditahan di Genting Sempah, semalam,” katanya seperti dilapor BH.
Mengulas mengenai identiti mangsa, beliau berkata ahli keluarga sudah dipanggil untuk membuat pengecaman, namun proses itu sukar berikutan keadaan mayat yang sudah mereput.
“Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya mangsa telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari. Buat masa ini, identitinya belum dikenal pasti.
“Beberapa ahli keluarga sudah memberikan sampel DNA dan polis masih menunggu keputusan,” katanya.
Menurut Idzam, siasatan masih giat dijalankan termasuk mengesan beberapa individu lain dipercayai ada kaitan dengan kes tersebut.
“Masih banyak siasatan yang perlu dilengkapkan. Suspek utama baru direman tujuh hari dan soal siasat akan dijalankan bagi merungkai kejadian ini.
“Mungkin dua atau tiga individu akan ditahan bagi membantu siasatan. Selain suspek, pihak kami juga sudah memanggil beberapa ahli keluarga untuk diambil keterangan,” katanya.
Sebelum ini, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka dan Genting Sempah selepas mayat seorang wanita dipercayai ditanam dalam beg ditemui di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Pedas.
Kes itu turut dikaitkan dengan laporan kehilangan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember oleh polis Ampang.


