Sokongan, bantuan negeri suntik semangat atlet Selangor sasar kejuaraan dunia

24 Dis 2025, 5:57 AM
Sokongan, bantuan negeri suntik semangat atlet Selangor sasar kejuaraan dunia
Sokongan, bantuan negeri suntik semangat atlet Selangor sasar kejuaraan dunia

SHAH ALAM, 24 DIS: Sokongan Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, menjadi pembakar semangat buat atlet tinju dan badminton negara dalam merealisasikan sasaran kejuaraan dunia serta mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Juara Tinju Profesional WBC Silver Asia Aiman Hisyam Abu Bakar berkata, bantuan dan sokongan yang diterima memberi dorongan besar dari segi keyakinan, persiapan fizikal serta mental, khususnya menjelang perlawanan besar yang disasarkan pada 2026 dijangka berlangsung Mac.

Juara Tinju Profesional WBC Silver Asia Aiman Hisyam Abu Bakar. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

"Sokongan Kerajaan Negeri menaikkan semangat saya untuk terus berjuang. Sasaran saya jelas, iaitu menjadi juara dunia dan mencipta sejarah untuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pencapaian terbaharu dalam kerjayanya ialah menjuarai kejuaraan WBC di Filipina pada Ogos 2023, yang menjadi titik tolak penting ke arah pencapaian lebih tinggi dalam arena tinju profesional dunia termasuk sasaran bertanding di pentas besar seperti Las Vegas.

"Fokus ketika ini adalah latihan intensif secara konsisten, bagi memastikan tahap prestasi berada dalam keadaan terbaik menjelang cabaran seterusnya.

"Selangor adalah tempat saya lahir dan dibesarkan. Sokongan ini memberi saya kekuatan untuk terus melangkah lebih jauh," ujar anak kelahiran Subang itu.

Sementara itu, pasukan atlet Kelab Verge Badminton turut menyuarakan komitmen sama dengan menyifatkan sokongan Kerajaan Negeri sebagai pemangkin semangat dan dorongan penting ke arah merealisasikan sasaran menjuarai kejohanan dunia.

Komitmen tersebut dizahirkan melalui pencapaian dua pemain utamanya, Mohd Ashraf Danial Md Zakaria dan Mohd Ariffin Nazri Md Zakaria yang kini menghuni ranking dunia ke-92 (BWF), selain berjaya meraih tiga podium daripada empat kejohanan antarabangsa yang disertai.

"Ini menjadi pembakar semangat dan dorongan penting untuk pemain kami terus konsisten, meningkatkan ranking dunia serta melangkah ke tahap kejuaraan dunia sambil membawa nama Selangor dan Malaysia lebih jauh," kata Presiden Kelab Verge Badminton Helmy Kamarudin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan MBI atas sokongan moral dan komitmen yang diberikan kepada pemain yang membawa nama Malaysia dan Selangor di peringkat antarabangsa.

Presiden Kelab Verge Badminton Helmy Kamarudin. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

"Dengan bantuan diberikan, kami akan memperkemas program latihan, penyertaan kejohanan dan sokongan prestasi bagi memastikan peningkatan ranking dunia yang lebih baik," katanya.

Yayasan MBI semalam menyalurkan zakat wakalah berjumlah RM21,000 kepada 11 penerima, merangkumi bantuan pendidikan, perubatan serta sokongan kepada mahasiswa dan atlet sukan berpotensi.

Bantuan turut diberikan kepada atlet sukan yang menunjukkan pencapaian membanggakan di peringkat negeri dan kebangsaan.