20 lampu solar dipasang, tingkat keselamatan, keselesaan penduduk KKB

24 Dis 2025, 3:11 AM
20 lampu solar dipasang, tingkat keselamatan, keselesaan penduduk KKB

SHAH ALAM, 24 DIS: Sebanyak 20 lampu solar dipasang di sekitar Kuala Kubu Bharu (KKB) sebagai langkah proaktif meningkatkan keselamatan, pencahayaan dan keselesaan penduduk, dengan penambahan pemasangan dirancang pada masa akan datang.

Wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata, pemasangan tersebut dilaksanakan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) hasil keperluan di lapangan serta maklum balas komuniti setempat.

"MPHS telah memasang 20 lampu solar dan akan menambah pemasangan pada masa akan datang bagi memastikan kawasan perumahan lebih selamat dan selesa," katanya.

Beliau turut mengadakan sesi ramah mesra bersama komuniti KKB bagi memberi ruang kepada penduduk menyuarakan aduan dan isu setempat supaya dapat mencari penyelesaian secara berperingkat dan berkesan.

"Saya bersama Ahli Majlis Zon 7 Lembah Beringin, Srikanth mengadakan sesi ramah mesra bersama wakil persatuan penduduk, persatuan warga emas, persatuan ukhwah, pihak surau serta Kemas.

"Beberapa isu berkaitan infrastruktur dan permasalahan setempat dibangkit dan dibincangkan dalam perjumpaan itu," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, Sock Tao turut memaklumkan isu jalan raya persendirian yang menghubungkan Lembah Beringin dan Kerling menunjukkan kemajuan positif apabila pemilik tanah telah memberikan persetujuan bagi tujuan penyelenggaraan sekali gus membolehkan tindakan susulan diambil demi keselamatan serta kelancaran pergerakan penduduk.

"Persetujuan pemilik tanah membuka ruang kepada kerja penyelenggaraan jalan demi keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk," katanya.