Kanak-kanak perempuan dirujuk hospital akibat pendarahan digigit lintah

24 Dis 2025, 1:21 AM
Kanak-kanak perempuan dirujuk hospital akibat pendarahan digigit lintah

SHAH ALAM, 24 DIS: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami pendarahan di bahagian kemaluan dipercayai akibat gigitan lintah ketika bermain di kawasan sawah di Sungai Rambai, Melaka, Ahad lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa menyertai satu program dan bermain di kawasan sawah berkenaan sebelum mengadu kesakitan serta mengalami pendarahan.

Polis menerima makluman mengenai insiden itu kira-kira jam 1 tengah hari selepas dihubungi wad kecemasan Hospital Jasin.

“Mangsa dibawa ibunya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan luaran pada bahagian kemaluan mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

Sumber memaklumkan, ibu mangsa turut memaklumkan bahawa anaknya hanya memakai seluar pendek ketika berada di kawasan sawah itu.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut dan pihak doktor tidak menolak kemungkinan pendarahan berpunca daripada gigitan lintah.

“Tiada unsur kecederaan trauma atau jenayah seksual dikesan hasil pemeriksaan perubatan,” katanya.

Difahamkan, laporan polis dibuat bagi memenuhi prosedur perubatan standard.