SHAH ALAM, 23 DIS: Penemuan 40 bungkusan plastik hitam terapung di perairan berhampiran Pantai Leman, Kuala Kedah awal pagi semalam, membongkar cubaan menyeludup daun ketum ke negara jiran.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menemukan bungkusan berkenaan ketika rondaan rutin di sekitar perairan Kuala Kedah sekitar jam 2.22 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata pemeriksaan mendapati kesemua bungkusan plastik hitam itu disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 400 kilogram.
Beliau berkata, bungkusan tersebut ditemui terapung kira-kira 0.3 batu nautika dari Pantai Leman hasil maklumat risikan ketika bot ronda Maritim Malaysia menjalankan Op Aman dan Op Guard.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan itu dipercayai mengandungi daun ketum yang dibungkus rapi dan disyaki dibuang ke laut selepas pihak terlibat menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM60,000 dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan daun ketum berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
Tambahnya, aktiviti penyeludupan daun ketum ke negara jiran masih berlaku meskipun tidak lagi serancak sebelum ini berikutan negara berkenaan telah membenarkan penanaman pokok ketum.
“Namun permintaan masih kekal ada disebabkan kualiti tinggi daun ketum dari Malaysia,” katanya.
Noor Azreyanti berkata, orang ramai digalakkan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.



