ad

655 kilogram daun ketum dirampas, tujuh individu ditahan

27 Nov 2025, 3:45 AM
655 kilogram daun ketum dirampas, tujuh individu ditahan

SHAH ALAM, 27 NOV: Operasi pematuhan dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Taman Sri Putra, Sungai Buloh berjaya merampas 655 kilogram daun ketum dan 251.5 liter air ketum dalam serbuan dua hari pada 25 dan 26 November lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi dijalankan dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu turut membawa kepada tangkapan tujuh individu, termasuk seorang penjawat awam yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyimpanan, pemprosesan dan pengedaran bahan terlarang tersebut.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Bahan ketum berkenaan ditemui di dalam beberapa kenderaan dan sekitar kediaman, malah sebahagiannya telah siap diproses untuk diedarkan,” katanya dalam kenyataan.

Selain rampasan bahan ketum, dua kenderaan turut disita bagi membantu siasatan.

Mohd Yusri berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM65,000, dan semua barang kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras penyalahgunaan bahan terlarang, selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.