SHAH ALAM, 11 APRIL: Polis menumpaskan sindiket pengedaran daun ketum selepas menahan dua lelaki tempatan dalam satu operasi di hentian rehat Lebuhraya Elite, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 6.45 petang oleh anggota Unit Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan di dalam Proton Waja.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan 53 plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 455 kilogram yang diletakkan di ruang tempat duduk belakang.
“Nilai rampasan dianggarkan RM18,500 dan dipercayai untuk diedarkan ke selatan tanah air,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai empat rekod lampau.
“Kedua-dua suspek direman empat hari dari 10 hingga 13 April bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.









