Kereta terjunam ke sungai, seorang dikhuatiri lemas

22 Dis 2025, 7:20 AM
Kereta terjunam ke sungai, seorang dikhuatiri lemas

SHAH ALAM, 22 DIS: Seorang individu dikhuatiri lemas selepas kereta yang dipandunya dilaporkan terbabas sebelum terjatuh ke dalam Sungai Ampang Jajar di Persiaran Taman Jeragan, Alor Setar, hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Norazwan Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.37 pagi, lapor Harian Metro.

Menurutnya, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu pihak polis dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

“Maklumat awal diterima melalui talian kecemasan 999 memaklumkan sebuah kereta terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai, dengan seorang mangsa dipercayai berada di dalam kenderaan itu,” katanya.

Norazwan berkata, pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani bersama bot penyelamat turut dihantar ke lokasi.

Beliau berkata, operasi menyelam bermula pada jam 12.30 tengah hari dan diteruskan sehingga jam 2 petang bagi mencari mangsa.