Kunjungan 14 rakan ke Hutan Lipur Chamang berakhir tragedi, seorang lemas

29 Sep 2026, 2:52 PM
Kunjungan 14 rakan ke Hutan Lipur Chamang berakhir tragedi, seorang lemas

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kunjungan sekumpulan 14 rakan ke Hutan Lipur Chamang, Bentong hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika mandi di air terjun.

Mohd Aiman Nazmi Mohd Yusuf, 29, dari Felda Endau, Johor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.29 tengah hari.

Katanya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Rapid Response Vehicle (RRV) digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada 2.11 petang dan dimaklumkan seorang lelaki lemas selepas datang ke kawasan rekreasi itu bersama 13 rakannya.

“Kumpulan berkenaan terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita yang bekerja di Coffee Bean Caltex Sungai Besi,” katanya.

Mohd Salahuddin berkata, sebelum ketibaan bomba, pegawai perhutanan berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang di air terjun berkenaan.

Katanya, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Semua 13 rakan mangsa dilaporkan selamat. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.