Hannah jamin pelihara kampung tradisional Melayu

22 Dis 2025, 3:41 AM
Hannah jamin pelihara kampung tradisional Melayu

SHAH ALAM, 22 DIS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan bahawa kepentingan kampung tradisional Melayu di Wilayah Persekutuan, termasuk Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru, akan terus dipelihara di bawah pentadbirannya.

Hannah berkata, pemeliharaan kampung tradisional adalah perkara penting yang memerlukan perhatian serius, terutamanya di tengah pembangunan pesat bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, lapor Harian Metro.

"Mengenai usaha melindungi kampung tradisional Melayu di Wilayah Persekutuan, tidak perlu risau. Anda boleh semak rekod saya - saya adalah Ahli Parlimen Segambut (yang bertanggungjawab) bagi Kampung Sungai Penchala.

"Dalam rekod, saya secara konsisten menekankan kepentingan memelihara kampung tradisional Melayu.

"Bangunan komersial mudah dicari, tetapi kampung tradisional semakin jarang ditemui. Segala-galanya mesti dilakukan mengikut undang-undang, dan saya mahu menerima taklimat daripada agensi berkaitan terlebih dahulu," katanya pada sidang media pada hari pertama beliau di Jabatan Perdana Menteri bagi Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Timbalannya, Datuk Lo Su Fui juga secara rasmi memulakan tugas hari ini.

Hannah berkata, susulan perubahan portfolionya dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk memastikan kepentingan kampung tradisional terus terpelihara.

"Saya telah berbincang perkara ini dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani. Dalam hal ini, saya yakin semua inisiatif yang dijalankan oleh bekas menteri, Dr Zaliha, akan diteruskan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut pada peringkat ini. Saya mahu menunggu kemas kini dan memastikan perbincangan menyeluruh dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Beliau juga akan bertemu dengan semua pihak berkepentingan, termasuk ketua agensi di bawah kementerian, untuk menerima taklimat mengenai isu utama berkaitan Wilayah Persekutuan.

"Kita akan tunggu taklimat terlebih dahulu. Ini bukan isu baharu, ia sudah dibangkitkan berkali-kali di Parlimen.

"Saya akan memastikan saya menerima maklumat terkini daripada pegawai berkaitan.

"Isu-isu besar biasanya dibincangkan di peringkat Kabinet, dan itu pastinya akan dilakukan dalam hal ini," katanya

Mengulas mengenai kebimbangan terhadap pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi punca kerisauan kerana tiada parti tunggal yang boleh bertindak secara bersendirian di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Mengenai pilihan raya tempatan, tidak perlu risau kerana tiada satu parti pun yang boleh bergerak sendiri.

"Ini adalah Kerajaan Perpaduan, yang bermakna semua parti pemerintah mesti berbincang dan membuat keputusan bersama," katanya.

Hannah berkata, beliau tidak menentang pembangunan, tetapi menentang pembangunan yang tidak mampan.

"Di Kuala Lumpur, saya sangat peka terhadap hujan lebat dan bagaimana ia mempengaruhi kejadian tanah runtuh serta banjir kilat, yang menunjukkan keperluan untuk memberi perhatian serius terhadap pencegahan banjir.

"Kita sudah mengalami banjir besar pada tahun 2021 yang melanda KL.

"Ini adalah antara isu utama yang ingin kami fokuskan, mengurangkan risiko dan menjadikan bandar ini lebih sesuai untuk didiami oleh penduduk.

"Menambah baik perkhidmatan asas ini akan memastikan orang ramai yang membayar cukai taksiran merasa berpuas hati kerana keperluan asas mereka dijaga dengan baik," katanya.