Kemalangan tiga kenderaan, dua lelaki maut

22 Dis 2025, 12:53 AM
Kemalangan tiga kenderaan, dua lelaki maut

SEREMBAN, 22 Dis: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Mambau, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata kejadian pada jam 9.34 malam itu melibatkan sebuah Proton Waja dan dua motosikal jenis Honda yang masing-masing ditunggang lelaki berusia 41 dan 46 tahun.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila salah sebuah motosikal memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar cermin sisi Proton Waja, lalu merempuh sebuah lagi motosikal yang berada di belakang kereta tersebut.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.