Polis siasat kes sekumpulan lelaki serang dua individu di kedai makan

22 Dis 2025, 12:00 AM
Polis siasat kes sekumpulan lelaki serang dua individu di kedai makan

SHAH ALAM, 23 DIS: Polis Daerah Johor Bahru Selatan akan menjalankan siasatan kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan lelaki dan dua individu di sebuah kedai makan di Permas Jaya, Johor Bahru, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang daripada mangsa, lapor Berita Harian.

"Pada jam 9.12 malam tadi (semalam), seorang mangsa sudah tampil membuat laporan polis. Siasatan akan mula dijalankan.

“Tiada pihak lain membuat laporan termasuk pemilik kedai makan berkenaan mahu pun seorang lagi mangsa," katanya.

Terdahulu, dalam satu video berdurasi seminit 29 saat yang tular di media sosial memaparkan beberapa orang awam sedang duduk di sebuah kedai makan termasuk dua mangsa sebelum kelihatan empat orang lelaki berpakaian gelap mula berlegar-legar di kawasan itu.

Mereka kemudian dilihat pergi ke arah meja yang terdapat dua mangsa lelaki itu dan kelihatan seolah sedang berkata sesuatu sebelum seorang daripadanya mula memukul mangsa.

Sejurus selepas itu, tiba-tiba datang pula sekumpulan lelaki berpakaian hitam dipercayai lebih 20 orang dari setiap sudut kedai makan dan turut menyerang kedua-dua mangsa.

Namun, serangan itu hanya berlaku kira-kira 35 saat selepas kelihatan ada orang awam yang cuba membantu mangsa sebelum kumpulan lelaki itu meninggalkan kedai makan berkenaan.