KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Polis menahan lima lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan dan rusuhan di hadapan sebuah kelab malam di Pudu di sini seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Annas Sulaiman berkata kesemua suspek berusia antara 19 hingga 30 tahun ditahan susulan video berdurasi 38 saat yang dikesan tular di Facebook pada Ahad lepas kira-kira 12 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu yang kemudiannya berlarutan hingga mencetuskan pergaduhan besar di luar kelab berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis turut menyita sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna hitam disyaki digunakan semasa kejadian.
“Hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah kekerasan dan dadah. Kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga 4 Sept bagi membantu siasatan.
“Selain itu, pihak polis mempergiat usaha mengesan suspek yang masih bebas,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor V. Jeychandran di talian 03-9289 9222 atau 010-214 6297, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA







