SHAH ALAM, 14 OGOS: Seorang lelaki warga tempatan cedera parah selepas dipercayai ditetak dengan parang dalam kejadian pergaduhan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Kemuning, Sri Muda dekat sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata kejadian kira-kira pada 11 pagi itu dipercayai melibatkan dua penyerang lelaki warga tempatan yang turut menggunakan objek menyerupai pistol.
“Mangsa berusia 38 tahun kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi kecederaan parah yang dialami di tangan kirinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian hadir ke balai polis berhampiran atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
-- BERNAMA







