Klinik Larian Menara MBPJ diiktiraf MBOR, angkat PJ sebagai hab larian menara negara

21 Dis 2025, 8:11 AM
Klinik Larian Menara MBPJ diiktiraf MBOR, angkat PJ sebagai hab larian menara negara
Klinik Larian Menara MBPJ diiktiraf MBOR, angkat PJ sebagai hab larian menara negara
Klinik Larian Menara MBPJ diiktiraf MBOR, angkat PJ sebagai hab larian menara negara

SHAH ALAM, 21 DIS: Klinik larian menara anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang dilaksanakan secara berterusan selama 115 minggu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Program yang dijalankan dengan kerjasama Malaysia Towerrunning Association (MTA) mengangkat Petaling Jaya sebagai hab larian menara negara, selain memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi di peringkat tempatan dan kebangsaan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen MBPJ mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh penglibatan komuniti.

“Ini juga bukti komitmen membangunkan ekosistem sukan berprestasi tinggi yang inklusif dan mampan dengan menjadikan Menara MBPJ sebagai pusat latihan rasmi Malaysia Tower Running,” menurut pihak berkuasa tempatan itu dalam hantaran di Facebook.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon bergambar bersama sebahagian peserta Klinik Larian Menara MBPJ sempena Program Tower Run dan Program Pencarian Atlet Remaja MBPJ pada 20 Disember 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Wakil MBOR menyerahkan sijil pengiktirafan berkenaan kepada Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon sempena Program Tower Run dan Program Pencarian Atlet Remaja MBPJ yang berlangsung semalam.

Sebelum ini, MBPJ turut meraikan kejayaan atlet tajaan mereka, Soh Wai Ching yang sekali lagi mengharumkan nama negara selepas dinobatkan sebagai Pelari Menara Nombor Satu Dunia serta Juara Keseluruhan Shanghai Tower Towerrunning Challenge di China.

Pelari menara nombor satu negara itu mencipta kejayaan berkenaan selepas menamatkan cabaran 119 tingkat setinggi 552 meter dengan catatan masa 18 minit 3 saat, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai atlet larian menara terbaik dunia.

Peserta Klinik Larian Menara MBPJ bergambar bersama pelari menara nombor satu negara Soh Wai Ching sempena Program Tower Run dan Program Pencarian Atlet Remaja MBPJ pada 20 Disember 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya