JKR Kuala Langat laksana operasi cantasan pokok berisiko di jalan FT005

21 Dis 2025, 6:00 AM
JKR Kuala Langat laksana operasi cantasan pokok berisiko di jalan FT005
JKR Kuala Langat laksana operasi cantasan pokok berisiko di jalan FT005
JKR Kuala Langat laksana operasi cantasan pokok berisiko di jalan FT005

SHAH ALAM, 21 DIS: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat dengan kerjasama pelbagai agensi telah melaksanakan Operasi Pemotongan dan Cantasan Pokok Berisiko di sebahagian Jalan FT005 serta Jalan Kampung Orang Asli Telok Bunut, semalam.

Operasi bersepadu itu melibatkan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Bahagian Trafik Kuala Langat serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) Banting bagi memastikan pelaksanaan kerja berjalan lancar dan selamat.

Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kekuatan aset serta peralatan yang mencukupi bagi memastikan kelancaran kerja di lapangan di samping mengutamakan aspek keselamatan kakitangan dan pengguna jalan raya.

"Kerja-kerja pemotongan dan cantasan tertumpu kepada pokok-pokok yang telah dikenal pasti berisiko dan berpotensi mengancam keselamatan awam," menurut kenyataan JKR Kuala Langat.

"Inisiatif ini akan diteruskan secara berperingkat dan dilaksanakan bersama agensi berkaitan di lokasi-lokasi lain yang dikenal pasti terjejas pada masa akan dating," tambah kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, JKR Kuala Langat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat atas kerjasama erat, tindakan pantas serta komitmen tinggi dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran pergerakan trafik sentiasa terpelihara.