Sultan, Permaisuri Selangor sertai Larian KITA 'Saturday Night Run Ampang'

21 Dis 2025, 3:30 AM
Sultan, Permaisuri Selangor sertai Larian KITA 'Saturday Night Run Ampang'
Sultan, Permaisuri Selangor sertai Larian KITA 'Saturday Night Run Ampang'
Sultan, Permaisuri Selangor sertai Larian KITA 'Saturday Night Run Ampang'

AMPANG, 21 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat menyertai program Larian KITA 'Saturday Night Run Ampang' 2025 di sini, semalam.

Keberangkatan Baginda berdua bukan sahaja menyempurnakan acara pelepasan larian bagi kategori 5 kilometer (5KM) dan 3 kilometer (3KM), malah turut berlari bersama lebih 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Bertemakan Run, Glow & Grow, program larian itu dianjurkan oleh Yayasan TZA dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti bandar.

Turut hadir pengasas Yayasan TZA, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam Shaari; Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Kamri Kamaruddin serta Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.

Program Larian KITA sebelum ini dianjurkan di Kuala Selangor dan Kuala Langat, manakala penganjuran di Ampang kali ini memperluas capaian kepada komuniti bandar menerusi konsep larian waktu malam yang lebih santai.

Selain acara larian, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk senamrobik zumba, persembahan budaya dan muzik, aktiviti kekeluargaan serta cabutan bertuah bagi memeriahkan program dan menghargai penyertaan peserta.