SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dengan kerjasama Malaysia Airports Niaga melaksanakan inisiatif KLIA ke arah bebas plastik sebagai langkah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook berkata, sebagai pintu masuk utama negara, KLIA bukan sahaja berfungsi sebagai hab penerbangan, malah menjadi cerminan komitmen Malaysia terhadap agenda kelestarian di peringkat antarabangsa.
“Usaha ke arah bebas plastik ini memerlukan komitmen bersama yang konsisten dan berterusan melibatkan pihak berkuasa tempatan, pengurusan lapangan terbang serta pengguna. KLIA perlu menjadi contoh kepada amalan lestari di ruang awam berskala besar,” katanya.
Program itu disempurnakan Yang Dipertua MPSepang, Dr. Ani Ahmad bersama Pengurus Besar Malaysia Airports Niaga, Md Fadzwin Abdul Rahim, dengan kehadiran Ahli Majlis MPSepang, Dr. Teo Lian Seng serta pegawai kanan jabatan dan unit MPSepang.
MPSepang berharap inisiatif berkenaan dapat membudayakan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam komuniti lapangan terbang, sekali gus menjadikan KLIA sebagai lapangan terbang yang bersih, selamat dan mampan.




