Letak halangan di petak parkir, MBSJ ambil tindakan tegas

19 Dis 2025, 5:40 AM
Letak halangan di petak parkir, MBSJ ambil tindakan tegas

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyita pelbagai objek ‘cop parkir’ yang diletakkan tanpa kebenaran di petak parkir awam sekitar PJS 11, Bandar Sunway serta Taman Puchong Prima, Puchong.

MBSJ memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu diambil hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan di kawasan terbabit.

“Susulan itu, tindakan sitaan serta-merta dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, semua objek halangan yang disita telah dilupuskan di Pusat Pelupusan Sampah MBSJ, selaras dengan prosedur serta tatacara pelupusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, orang ramai digalakkan menyalurkan sebarang aduan berkaitan aktiviti yang menyalahi peraturan MBSJ melalui laman sesawang rasmi MBSJ atau menghubungi Jabatan Penguatkuasaan MBSJ menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-220 7823.